Khabarnya dia itu sudah tertambat, sudah diikat sepanjang bulan Ramadhan ini.Bukan sekadar dengar - dengar, malah Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam sendiri telah bersabda mengenainya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
"Apabila tiba Ramadhan, maka pintu syurga (rahmat) akan dibuka, dan pintu neraka akan ditutup, dan syaitan akan ditambat"
Diumpamakan syaitan itu seperti anjing liar yang tertambat. Adakah anjing yang ditambat tidak mampu menggigit?... Tentu sahaja bagi mereka yang menjauhi anjing tersebut, akan terselamat dari serangan dan gigitannya. Namun bagaimana pula dengan yang menghampiri anjing berkenaan?... Duduk bersebelahan, mengacah - acah anjing yang geram tertambat?... Tidak mustahil manusia dungu ini terkena gigitan, malahan gigitan itu mungkin lebih teruk dan lebih serius kerana anjing itu sedang dalam kemarahan.......
Apabila Ramadhan mengikat syaitan daripada bebas berkeliaran, ia hanyalah proses mengurangkan potensi syaitan untuk menghasut manusia untuk berbuat jahat. Seperti sabda dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim, "Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar....."
Akan tetapi bagi yang menghabiskan masa Ramadhannya di tempat syaitan tertambat, di lokasi lagho dan maksiat tempat jin bertandang, maka bagaimana? Ketika syaitan tertambat, manusia pula yang mencari-cari syaitan dan mengisi Ramadhan dengan perkara sia-sia kegemaran Syaitan? Tidakkah mereka ini menyerah peha untuk dibaham dan menjadi mangsa?
Dan ketahuilah bahawa punca kejahatan manusia itu ada luar dan dalamnya. Jika anasir asingnya adalah syaitan, sumber yang paling merbahaya pula adalah hawa nafsunya sendiri.
"Apakah kamu tidak melihat orang yang bertuhankan hawa nafsunya sendiri?" (Al-Jaatsiyah : 23)
Kejahatan dibulan Ramadhan adalah kejahatan tulen pilihan manusia. Hampir tiada campur tangan syaitan pada kederhakaan dirinya kepada Allah. Dia sendiri yang memilih untuk berbuat kejahatan lagi keparat.
Sebagaimana puasa menjadi ibadah ekslusif antara hamba dan Allah Tuhannya, maka kejahatan di bulan Ramadhan juga akan dibalas secara ekslusif oleh Dia (Allah)....
sumber:Saiful Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan