Social Icons

twitterfacebookgoogle plusmyspacerss feedemail

Jumaat, 25 Mei 2012

Apabila roh mula berbicara...

Hidup dan mati adalah ketentuan...
Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan kematian...
Pernahkah kita terfikir...
Bagaimanakah kita akan menemui ajal??
Adakah kita akan sakit sepanjang sebelum kita menemui kematian??
Ataupun kita akan mati secara terkejut??

Di sini penulis nak berkongsi satu cerita daripada laman sosial Facebook...
Apabila roh mula berbicara...
Mari kita sama - sama baca sampai habis...
Ceritaku sudah menghiasi dada-dada akbar tempatan dan menjadi perbualan orang-orang. Bahkan jiran dan saudara mara terdekat tidak putus-putus mengunjungi rumahku samaada datang berziarah dengan ucapkan takziah pada ibu ataupun sekadar ingin mengetahui cerita sebenar tragedi tersebut. Ada yang menyalahkan dan menyumpah-nyumpah lelaki durjana itu, tidak kurang juga menyalahkan kebodohan aku.

Aku sendiri tidak menjangka dalam ramai-ramai manusia, aku yang terpilih untuk menemui ajal dengan cerita begini. Waktu ajal itu tiba aku juga tidak tahu waktunya. Datang dengan drastik dan berlaku dengan pantas. Yang pasti, teramat sakit.

Malam itu adalah malam terakhir cutiku di kampung. Juga malam gembira buat aku, ibu dan adik. Kami makan bertiga di ruang dapur sambil berjenaka dan berbual hal-hal yang menyeronokkan. Ibu menyediakan makanan kesukaanku. Bukan selalu aku dapat menikmati masakan ibu, kalau bukan kerana cuti konvokesyen, memang aku tidak berpeluang balik kampung dalam waktu terdekat ini.

"Kak Lin tak kenyang lagikah?" soal adik ketika aku mengangkat bekas nasi mahu menambah buat kali ketiga. Aku mengangkat wajah melihat adik yang melopong. Sambil mencedok nasi ke pinggan dan mengukir senyuman padanya.

"Ibu, tengoklah Kak Lin ni macam 10 hari tak makan.. habis nasi dalam bekas tu ibu.." Bebel Adik lagi. Ibu yang sedang mengemas dapur memandang aneh pada kelakuanku.

"Alah adik ni, akak nak makan puas-puaslah. Esok akak dah tak dapat nak rasa masakan ibu tau.." balasku. Sambil ku hadiahkan senyuman manja pada ibu. Tangan kiriku sampai pada pinggang adik, lalu cubitan menyinggah di situ. Adik menggeliat sambil menjerit dan membebel lagi. Aku menutup mulut menahan ketawa, juga menahan nasi dalam mulutku dari tersembur. Ketawaku disusuli dengan ketawa ibu dan adik. Kesunyian malam pecah oleh ketawa yang bersatu.

Ibu kemudiannya mengambil tempat di kerusi sebelah. Mangkuk betik masak lemak ikan masin kesukaanku dihulurkan. Lauk kegemaran kucedok ke pinggan serta merta. Ibu mengelengkan kepala merenung tingkahlakuku..."Kalau ya pun sedap sangat, janganlah gelojoh.." tegurnya. Aku hanya mengangguk-angguk senyum.

Aku makan banyak malam itu. Masakan mak kurasa nikmat sangat, perutku terasa masih kosong walaupun sudah 4 pinggan nasi aku isikan. Bukan aku saja yang perasan keluarbiasaan itu, ibu dan adik juga berkerut kening melihat kegelojohan aku. Sambil makan ibu yang duduk di sebelahku memberi nasihat yang tidak putus-putus. Aku hanya senyum mengiyakan walau sebenarnya semua nasihat itu bagai angin yang berlalu, tidak masuk ke dalam kepalaku. Biasanya sepatah ibu cakap, berpatah-patah aku lagi menambah. Tapi malam itu terasa mulut berat untuk mengeluarkan kata-kata. Aku biarkan ibu, wajah tenang ibu sedang memberi nasihat yang menjadi tatapan.

Keesokan paginya ibu menegurku kerana aku bangun terlalu awal. Aku sebenarnya tidak tidur pun, malam itu aku sukar melelapkan mata. Resah gelisah sampai ke pagi. Aku sendiri tidak pasti punca kegelisahan itu.

Selepas mengemas segala barang-barang yang perlu dibawa, ibu dan adik menghantar aku ke stesen bas. Sampai di stesen bas, aku mencari-cari kelibat dia, pemilik kereta sewa yang biasa aku naiki setiap kali pulang ke kampung. Dia yang kukenal sebagai lelaki yang baik, pemandu kereta sewa yang menjadi pengangkutan utamaku berulang alik antara universiti dan kampungku. Sudah menjadi kenalanku sejak tahun lepas lagi. Tapi betullah kata orang, malang tidak berbau. Aku sendiri tidak membau apa-apa. Syak wasangka pada mulanya ada, tapi disebabkan sudah beberapa kali dia menghantarku ke destinasi dengan selamat, aku akhirnya meletakkan kepercayaan padanya. Siapa sangka di sebalik batu ada undang tersembunyi.

Telefon bimbitku berbunyi menandakan mesej masuk.

'saya tepi bustop sebelah utara..'

Aku menoleh ke kanan. Kulihat dia berdiri menyandar pada kembara merahnya sambil melambai-lambaikan tangan. Beg ku jinjing dan bejalan ke arahnya. Ibu dan adik mengekor di belakang. Aku menemukan dia pada ibu dan adik. Ketika itu dia dengan teragak-agak untuk memperkenalkan dirinya. Kulihat ibu merenungnya lama. Dia cepat-cepat menundukkan wajahnya tidak berani bertentang mata dengan ibu. Segan mungkin. Saat itu seraut wajah curiga ibu terpamer.
Semasa bersalam dengan ibu, tanganku digenggam kuat. Seakan Ibu tidak mahu melepaskan aku pergi. Aku memeluk tubuh kecil ibu dengan erat.

"Ibu, anak ibu bukan ke mana-mana, hanya pergi untuk menimba ilmu.. usahlah ibu risau..." bisikku.

Ibu membalas pelukanku dengan lama. "Hati-hati ya Lin, ingat semua pesan ibu tu.. jangan diri baik-baik..." kedengaran bergema di cuping telingaku. Lembut tangan ibu mengusap belakangku. Aku mengangguk dengan yakin yang aku akan menjaga diriku dengan baik.

"Dan ibu juga jaga diri baik-baik tau. Adik, pandai-pandailah adik jaga ibu bila Kak Lin dah tak ada ya." pesanku.

Adik menggangguk dengan muka pucatnya. Ku pandang wajah ibu juga pucat. Masing-masing menatapku dengan lama. Suasana hening seketika. Senyap. Langit tiba-tiba mendung dan tiba-tiba angin bertiup kecang. Sungguh aneh. Barangkali petanda hujan. Aku masuk ke dalam perut kereta dengan berat hati. Aku melambai ibu dan adik melalui tingkap, perasaan sedih yang aneh lagi kurasakan. Mataku bergenang seketika.

Hujan mulai turun membasahi bumi. Guruh berdentum dengan kuatnya.

"Hari ni kita ikut laluan Kuala Kelad ok?" Dia yang memandu di sebelah tiba-tiba bersuara mendatar. Aku mengiyakan sahaja.

Hujan turun dengan lebatnya dan perjalanan tetap diteruskan. Sepanjang setengah perjalanan kami hanya berdiam. Tidak seperti selalunya dia lincah bercerita macam-macam. Kelakuannya juga sedikit ganjil. Tidak menunjukkan keramahan seperti selalunya, dan diwajahnya tiada lagi terukir senyum yang panjang. Mungkin letih fikirku.

"Awak tidurlah, kalau dah sampai nanti saya kejutkan.." dia bersuara setelah berjam-jam senyap. Mungkin kerana perasan aku merenungnya sejak tadi.

"Tak! Saya tak dapat tidur." Jawabku laju. Aku tidak mahu tidur dan tidak sesekali akan tertidur. Ibu selalu mengingatkan aku supaya jangan tidur sepanjang perjalanan, dan itulah yang aku selalu lakukan. Tidak pernah terlelap sekali pun mengantuk. Aku berjaga-jaga walaupun kepercayaanku terletak padanya. Waspada itu masih perlu.

Tiada siapa menyangka, sesuatu perkara tidak diingini berlaku juga akhirnya. Pemikiranku mula disiram rasa curiga sewaktu dia membelokkan kereta pada simpang yang salah. Katanya itulah jalan baru melalui Kuala Kelad. Aku diam. Cuba membuang perasaan curiga dan diganti semula dengan percaya. Tenyata perasaan curigaku semakin meruap apabila melalui kawasan kebun kelapa sawit.

"Ni jalan apa ni?" soalku keras.

Dia menoleh ke arahku seketika kemudian tersengih dan memandang ke depan semula. Peluh dingin kurasakan mula membasahi diriku.

"Awak nak bawa ke mana ni???" marahku.

"Ke tempat yang takde orang, yang hanya ada kita berdua je.." sambil memandangku dari atas ke bawah lalu ketawa sinis.

Aku mula menggelabah. Cemas. Kepercayaanku beransur hilang.

"Tolong hantar saya balik!!!" Jeritku. Sambil memerhati keadaan sekeliling mencari-cari jika ada kelibat orang atau rumah berdekatan. Sekeliling hanya ratusan pokok kelapa sawit. Sunyi sepi tiada kelibat seorang pun makhluk Tuhan. Hujan yang semakin lebat membasahi kawasan itu.

Ketawanya semakin kuat. Lalu menjegilkan mata padaku. Dia yang ku anggap baik rupanya binatang! Seratus peratus kepercayaanku hilang. Aku meneguk air liur. Takut menyelubungi, bemacam-macam adegan muncul difikiran. Tanpa berfikir panjang kutanggalkan tali pinggang keledar dan cuba membuka pintu. Pantas juga lenganku digenggam kuat oleh tangannya.

"Hei! jangan lari bodoh!!" Pekiknya.

Aku meronta-ronta dengan keras. Tanggannya kugigit. Dia menjerit sakit dan lenganku terlepas dari pegangannya. Sepantas kilat pintu kubuka lalu ku terjun keluar.

Kedengaran kuat bunyi tayar yang dibrek serta merta. Aku yang tersembam ke tanah cepat-cepat bangkit dan cuba berlari. Lari sejauh yang mungkin.

"Hoi perempuan! kau nak lari ke mana hah!??? jeritnya.

Kilat sabung menyabung di langit. Guruh berdentum memecah kesunyian. Aku berlari meredah lebatnya hujan dalam kawasan hutan kelapa sawit yang tidak ada hujungnya. Lariku ke depan sekuat hati tanpa arah tuju, tanpa menoleh ke belakang. Sehingga aku rasakan diri ini selamat baru aku akan berhentikkan langkahan kaki. Malangnya....aku tersungkur. Kakiku tergelincinr dek tanah becak yang licin. Aku tersembam ke tanah. Sedaya upaya aku cuba bangkit, tapi dia lebih pantas menerkam aku dari belakang. Aku meronta-ronta sekuat hati. Sedaya upaya melepaskan diri. Namun terkamannya lebih kuat. Dua kali ganda tenaganya berbanding kudrat kecilku yang lemah.

"Hei budak bodoh! Kau ingat kau boleh lepas!" Rambutku ditarik kuat dari belakang. Aku menjerit sekuat yang mungkin meminta pertolongan. Tapi jeritanku mati dalam hujan yang lebat.

Dengan tenaga yang ada tetap berusaha gagahkan diri untuk melawan, biar sampai ke hujung nyawa. Dia mula bagaikan kerasukan. Lakunya kebinatangan. Jijik! Aku masih meronta walau lemah, sambil merayu untuk dilepaskan. Ratahnya bagaikan binatang membaham mangsanya. Aku hanya wanita kecil, tidak terdaya dan tenagaku semakin hilang daya untuk melawan. Kebuasan lelaki yang memiliki sembilan akal itu tidak mampu kuperangi. Kebinatangannya meraja dalam sekelip mata. Ketika itulah kurasakan tangannya berada pada leherku dan aku kesesakan nafas. Tersiksa yang amat sangat. Rontaanku makin lemah..saat itu wajah ibu yang memberi nasihat tidak putus-putus dan wajah adik kesayangan yang tersenyum manja bergilir-gilir bermain di layar mata. Dua-duanya kulihatmengangkat tangan masing-masing melambai padaku. "Ya Allah....." terasa nafas berada di hujung. Rintihan dan tangisku berlalu bersama angin dan hujan.. Pandanganku gelap.

***********************************************************************


Panas terik sang suria setia memancarkan sinarnya ke seluruh alam. Dalam masa yang sama hujan rintik-rintik membasahi dedaun yang mulai layu kekeringan. Waktu inilah aku datangi lagi pondok tua yang aku tinggalkan semalam. Ku lihat ibu duduk bersimpuh sendirian di ruang tamu. Aku dekati ibu dan duduk melutut di hadapannya. Buat kesekian kalinya melihat pipi ibuku basah lagi. Titis-titis air itu tidak kering dari kelmarin. Di tangan ibu, gambar lamaku yang sedang memakai pakaian penganugerahan sekolah tadika, tersenyum manis memegang segulung sijil. Perlahan jemari ibu menyentuh wajahku pada gambar. Aku pejamkan mata seakan merasai sentuhan jemari ibu. Saat kucelik, kulihat ibu meletakkan gambar di dadanya lalu didakap kuat. Esakan ibu kedengaran memenuhi ruang pondok tua.

"Kenapa takdirmu begini nak?..." Suara ibu antara dengar dan tidak. Tangis ibu yang kedengaran hebat.

Ibu...

Aku melarikan diri ke beranda. Aku duduk menangis di situ. Aku tak mampu untuk terus melihat ibu menangisi lagi takdirku. Cukuplah aku sahaja yang merasa sakit, aku tidak mahu ibu mengenanginya. Biarlah ibu meneruskan hidup tanpa mengingati tragedi hitam itu.

Mayatku dijumpai tersadai di Sungai Tara oleh seorang nelayan yang menjalankan rutin harian mencari rezeki. Mayatku sukar dikenalpasti. Sisa mayat sebenarnya, hanya cebisan-cebisan yang tidak sempurna, sudah menjadi makanan biawak dan haiwan yang lain dalam sungai itu. Tuhan sahaja yang tahu perasaan sakit ini melihat jasad sendiri dalam keadaan tersiksa.

Sisa mayatku di bawa ke hospital besar untuk dikenalpasti. Di hospital itulah aku melihat ibu meraung. Di sisi ibu, adik yang tergamam. Kedua-dua menangis melihat sisa mayat yang disahkan sebagai sebahagian tubuh milikku. Ibu pengsan dalam papahan adik yang cuba bertenang walaupun air mata banjir di pipinya. Aku hanya melihat dari jauh. Terasa sakit melihat orang tersayang terpaksa melalui ujian ini. Ujianku? Tiada rasa yang dapat menggambarkan apa yang telah aku alami. Terlalu perit.

Deringan telefon kedengaran dari dalam rumah. Air mata ku kesat dan kembali masuk ke dalam. Kulihat ibu terkocoh-kocoh menjawab panggilan itu. Kedengaran suara ibu merayu-rayu dengan sayu. Ibu merayu agar lelaki iblis itu segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Aku tahu itu panggilan daripada Inspektor Sabrina yang melaporkan perkembangan kes selanjutnya. Ternyata lelaki iblis itu masih belum tertangkap. Sudah dua hari berlalu masih tiada jejaknya. Penjenayah itu masih lagi bebas di luar sana. Mungkinkah mencari mangsa yang baru? Cerita tragis yang seterusnya bakal terbit selagi dia masih bebas! Masih selamatkah dunia ini untuk gadis-gadis di luar sana?

Aku harap kisahku yang menghiasi muka depan akbar tempatan menjadi pengajaran. Cukuplah ia berlaku ke atas aku, jangan ada lagi mangsa seterusnya. Pesanku, waspadalah setiap saat kerana di luar sana masih ada binatang yang bertopengkan manusia. Ingatlah semua pesan ibu dan jadikan azimat untuk di bawa ke mana-mana. Malang yang datang selalunya tak berbau.

Ingatan pada remaja khususnya muslimat di luar sana,kita digalakkan bersangka baik tetapi di zaman fahsya' dan munkar ini, baik macammana sekalipun kita perlu sentiasa hazar (berhati-hati) jangan letakkan kepercayaan 100% terutamanya pada lelaki...

Suka Artikel ini? :

Ikut MANMA Site di facebook :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
Kembali ke Atas | Disokong oleh | Dibina dan dikemaskini oleh "MANMA™ Site"
Kualiti terbaik menggunakan atau atau pada resolusi 1024x768 atau lebih