Social Icons

twitterfacebookgoogle plusmyspacerss feedemail

Jumaat, 3 Oktober 2008

Apa Itu Hari Raya Aidilfitri.......


Mungkin ada yang kurang mengetahui apa itu 'Eid ul-Fitr' atau Hari Raya Aidilfitri. Di sini penulis ingin menerangkan serba sikit tentangnya...
Hari Raya Aidilfitri (b.Arab: عيد الفطر 'Eid ul-Fitr "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran (Indonesia). Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi meraikan kemenangan pada bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun (betul ke tekun...) dan ikhlas (yang ni confirm bukan semua). Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam (selain Hari Raya Korban).

Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Taqwim Hijriyah. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik. Tetapi selalunya anak bulan tidak dapat dilihat di Malaysia kerana langit yang mempunyai awan tebal. Jadi sebagai penggantinya, bulan Syawal bermula setelah bulan Ramadhan digenapkan kepada 30 hari (ditentukan secara hisab).

Perayaan Hari Raya Puasa menandakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia sebelum terbenamnya matahari sehari sebelum hari raya (hari terakhir bulan Ramadhan). Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan.


Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari (hari terakhir bulan Ramadan) sehingga sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah.

Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri (selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri), umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin atau bertahlil kepada si mati. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit yang selalunya berwarna hijau dan kuning. Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun "Ang Pau". Pada Hari Raya, sampul selalunya berwarna selain daripada warna merah, iaitu hijau atau kuning. Terdapat pelbagai saiz sampul yang dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM 5. Kadangkala amalan pemberian Duit Raya diganti dengan pemberian hadiah-hadiah.

Pada malam Tujuh Likur(malam 27 Ramadan), pelita atau lampu minyak tanah akan dinyalakan terutamanya di kampung-kampung. Kadangkala pelita akan digantikan dengan penggunaan lampu elektrik kerana ia lebih bersih dan praktikal, namun keaslian sambutan Hari Raya selalunya akan berkurang dengan penggunaan ini.

Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri ataupun sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat.

Setakat ini sajalah artikel kali ini..... Semoga apa yang ditulis dapat memperjelaskan tentang apa itu Hari Raya Aidilfitri.....
Selamat Hari Raya Aidilfitri......
Maaf Zahir dan Batin.....

Suka Artikel ini? :

Ikut MANMA Site di facebook :

1 ulasan:

 
Kembali ke Atas | Disokong oleh | Dibina dan dikemaskini oleh "MANMA™ Site"
Kualiti terbaik menggunakan atau atau pada resolusi 1024x768 atau lebih